Wednesday, May 14, 2008

Kes saman Putrajaya Holdings didengar April tahun depan

~~Saya merupakan warga Putrajaya yang sudah menetap di sini lebih daripada 8 tahun. Jadi, perlu bagi saya untuk prihatin terhadap isu2 yang berlaku di sini. Berikut adalah berita terbaru yang saya adaptasikan dari Utusan Online.

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kes saman dua buah syarikat terhadap Putrajaya Holdings Sdn. Bhd., (PHSB) kerana didakwa telah melanggar hak cipta akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 6 April tahun depan.
Putrajaya Holdings dan lima defendan lain didakwa melanggar hak cipta reka bentuk lampu jalan dan tanglung milik kedua-dua syarikat itu bagi menghiasi beberapa batang jalan di Putrajaya.
Hakim Datuk Ramly Ali menetapkan tarikh berkenaan semasa sebutan kes tersebut di kamar beliau hari ini.
Syarikat Acumen Marketing Sdn. Bhd., dan DW Windsor Limited yang beribu pejabat di England mendakwa PHSB melanggar hak cipta milik mereka apabila memberi kuasa untuk penghasilan semula dan pembekalan lampu jalan yang hampir serupa atau sama dengan lampu jalan yang dihasilkan oleh mereka.
Lampu-lampu yang mengambil reka bentuk tepak sireh, kerongsang dan cucuk sanggul itu didakwa dipasang di Presint 2 (Timur), Presint 3, Presint 4, Presint 5, Presint 6 dan Presint 18 di Putrajaya.
Kes saman tersebut difailkan pada 25 Mac 2005.
Dalam pernyataan tuntutannya, pihak plaintif yang menjalankan perniagaan mengeluar dan mengedarkan tiang lampu jalan, tanglung dan komponen-komponen berkaitan mendakwa merupakan pemilik berdaftar bagi tiga reka bentuk lampu itu yang dinamakan di bawah 'Lampu Jalan Baba dan Nyonya'.
DW Windsor pula mendakwa ia merupakan pencipta sistem pemantul Diamond Optic termasuk tanglung Diamond Optic yang hak ciptanya dilindungi di bawah undang-undang hak cipta di Malaysia mengikut Konvensyen Berne.
PHSB dalam pernyataan pembelaannya pula menafikan sebahagian besar pernyataan tuntutan berkenaan dan memohon saman tersebut ditolak dengan kos.
Defendan pertama itu juga membuat tuntutan balas dengan mendakwa mengikut kontrak perjanjian, semua hak milik intelektual berhubung lakaran, reka bentuk dan produk termasuk reka bentuk 'Lampu Jalan Baba dan Nyonya' adalah milik sepenuhnya PHSB dan ia berhak menggunakannya.

Sumber: Utusan Online 14/5/2008

No comments: