Wednesday, May 21, 2008

???

Assalamualay kum Warahmatullah...

Berikut adalah artikel dari Saudara Naim yang saya sengaja siarkan di sini untuk bacaan sahabat2 di USIM..Dan di bawah artikel saudara naim, jawapan kepada tuduhan tersebut oleh YDP MPP kita,Ustaz Farid Din..Moga ‘keluarga’di usim dpt belajar dr teguran org..biar walaupun teguran itu tidak benar atau benar..sekurang2nya kita sebagai warga usim ada tanggungjwab,membuka minda kita semua..kalau xwujud artikel cm saudara naim tu,kita hanyut dengan dunia kita sendiri..erm..sedih,pedih..mmg sedih ..tp,sy cuba berfikiran +..walau pahit utk di telan pd mulanye..ana rasa,elok ana siarkan sekali lg jwpn kepada tuduhan tu oleh YDP MPP Saudara Farid Din..supaya shbt2 di USIM lain dpt baca..seterusnye bersihkan kembali nama usim..

hidup usim!
hidup islam!
hidup biar berjasa!


Kalau anda sayangkan USIM,sila baca sampai habis..

Universiti Islam atau Universiti Islam Liberal?

Negara ini dalam proses perkembangan yang positif dengan lahirnya semakin banyak institusi-institusi pengajian tinggi Islam. Sememangnya menjadi harapan besar umat Islam di negara ini semenjak dahulu lagi untuk melihat proses pendidikan (secara formal) yang berorientasikan pandangan hidup Islam yang benar itu berjalan dengan rancak. Begitulah sejarah merakamkan bagaimana pada era 60-an, ketika faham Islam sebagai satu tatacara hidup (nizam al-hayah) sedang mula berkembang semula di negara ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melalui sebuah konvensyen mahasiswa anjurannya pada tahun 1966 mula menggagaskan idea tentang penubuhan sebuah universiti Islam; yang akhirnya pada hari ini tersergam indah di daerah Gombak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Namun apa yang ingin aku sentuh dalam penulisan kali ini bukanlah tentang UIAM, sebaliknya tentang sebuah universiti lain yang juga membawa nama Islam.

Aku punya beberapa orang teman dan kenalan di sebuah universiti Islam yang kampusnya terletak di Nilai. Melalui cerita dan pengkisahan mereka, aku berasa cukup geram dan sedih dengan perkembangan yang sedang berlaku di universiti tersebut. Daripada kisah mereka, seolah-olah universiti itu kini sedang cuba dijadikan sebagai ‘pusat ternakan’ fahaman Islam Liberal.

Pihak pentadbiran universiti itu seolah-olah sedang cuba ‘meracuni’ pemikiran para mahasiswa di universiti itu dengan fahaman ‘terbuka’, sehingga sanggup merendah-rendahkan elemen-elemen tradisi dan juga perkara-perkara yang ada asasnya dalam Islam. Bayangkan bagaimana Dekan universiti itu sendiri sampai ke tahap sanggup menyamakan tudung labuh yang dipakai oleh mahasiswi universiti itu dengan ‘kelambu’. Seolah-olah tudung labuh ini adalah pakaian lapuk yang tidak relevan dan tidak ‘moden’. Apakah beliau – maaf, aku patut menggunakan: dia – tidak membaca ayat-ayat al-Qur’an yang menyatakan dengan jelas konsep pemakaian tudung?

Firman Allah S.W.T., yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah kepada wanita beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya...” (Surah An-Nuur, ayat ke-24) [untuk tafsiran dan penjelasan lanjut tentang ayat ini, kalian bacalah kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Al-Azhar Pak HAMKA; takkan semuanya aku nak baca untuk kalian.]

Apakah tudung berlilit sepuluh kali (sampai mencekik leher) itu ingin diangkat sebagai model pemakaian wanita yang solehah? Lebih teruk lagi, dia malah meremehkan mahasiswi yang memakai jubah dengan mengatakan bahawa wanita Arab dulu memakai jubah supaya mudah untuk mereka berhadas. Sayang sungguh, sebuah universiti mempunyai seorang Dekan yang begini dangkal akalnya!

Aku terkejut bila mengetahui di universiti tersebut diletakkan patung wanita yang dipakaikan dengan pakaian wanita muslimah (kononnya) untuk dijadikan sebagai model pemakaian wanita solehah; kononnya contoh pemakaian yang terbaik untuk wanita Islam. Ah, sesiapa yang berkesempatan untuk pergi ke universiti itu, pergilah menonton patung tersebut dan nilai sendiri sama ada pemakaian itu menepati garis panduan pemakaian seorang wanita Islam atau tidak. Aku kira, budak tadika Islam pun tahu membezakannya. Aku harap, wanita-wanita di universiti itu tidaklah terlalu ‘bodoh’ untuk mencontohi juga pemakaian model tersebut.

Aku juga cukup geram dan sedih bila mendapat tahu ada program yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar senior di universiti tersebut yang sampai mengabaikan waktu solat dalam program mereka, sehingga ada pelajar-pelajar yang tertinggal waktu solat! Dalam hal ini kedua-dua pihak harus bermuhasabah: penganjur dan peserta program. Apakah kalian tidak mengerti bahawa solat itu kunci syurga! Tanpa solat, buatlah seberapa banyak amalan sekalipun, pasti tidak berguna apabila dinilai di Hari Pengadilan kelak! Malah, tanpa solat, keIslaman seseorang itu pun boleh dipertikaikan!

Rasulullah s.a.w. bersabda, yang lebih kurang maksudnya:
Solat itu tiang agama. Siapa yang mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama, dan siapa yang meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agama.” (Hadith riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda, yang lebih kurang maksudnya:
Batas di antara seseorang itu dengan kekafiran ialah meninggalkan solat.” (Hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan lain-lain)

Aku cukup sedih bila mengetahui pelajar-pelajar senior di universiti Islam tersebut begitu ‘sekular’ pemikiran mereka sehingga boleh ‘terlepas pandang’ waktu solat. Sedangkan, waktu solat seharusnya diletakkan sebagai waktu-waktu utama yang tidak boleh diabaikan walau apa pun keadaannya! Aku tambah sedih lagi, bila mengetahui para peserta (mahasiswa/i baru) tidak seorang pun yang menyuarakan, mengingatkan atau mengambil inisiatif untuk pergi bersolat terlebih dahulu! Apakah mahasiswa dan mahasiswa sekarang sampai begini sekali ‘mandulnya’ jiwa sehingga sanggup berdiam diri walaupun menyedari ada yang tidak kena di depan matanya!

Ini belum termasuk isu tarian, nyanyian-nyanyian yang melalaikan, aktiviti pertunjukan fesyen yang bercampur antara lelaki dan perempuan. Aduh, adakah perkara-perkara yang begitu asas masih perlu diajar kepada pentadbir dan pensyarah universiti Islam ini?

Sesiapa yang punya teman-teman di universiti tersebut, tolong sampaikan mesej ini kepada mereka!

Aku berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat menilai semula pelantikan pentadbir-pentadbir dan pensyarah-pensyarah di universiti tersebut. Pelantikan pentadbir dan pensyarah perlu dipastikan benar-benar daripada kalangan mereka yang layak, yang faham Islam itu dalam konteksnya yang universal dan benar. Kita tidak ingin mereka yang berkiblatkan faham sekular, yang mentafsir nas-nas agama sesuka hati menurut nafsu serakah mereka sahaja.

Para mahasiswa di universiti itu juga tidak harus berdiam diri. Kalian adalah penuntut di taman intelektual; bukanlah dikatakan intelektual jika membisu dalam kebenaran, tetapi itu dinamakan pengkhianatan intelektual. Bukanlah dinamakan intelektual jika kalian gagal menterjemah ilmu pengetahuan yang ada untuk membentuk peribadi dengan nilai-nilai yang murni. Aku berharap sangat agar ada perubahan yang akan berlaku, kerana faham sekular-liberal jika dibiarkan meracuni minda-minda yang keliru, akan merosakkan umat Islam itu sendiri. Aku kira sedikit sebanyak maklumat tentang sekular-liberal telah ditulis dalam entri aku yang terdahulu. Hayatilah.

Daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang lebih kurang maksudnya): “Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” (Hadith riwayat Muslim)

Wallahu’alam.

Jawapan Kepada Tuduhan Saudara Naim

Assalamualaikum dan salam Ukhuwwah FilLah,

Semoga Allah melimpahkan segala rahmat dan kurniaNya kepada kita sekalian. Saya telah membaca suatu artikel yang dihantar oleh Saudara Naim di dalam laman blog beliau yang bertarikh 3 mei 2008 bertajuk : Universiti Islam atau Universiti Islam Liberal. Oleh kerana saya melihat tuduhan yang dilemparkan kepada universiti tempat saya menimba ilmu dan mengenal agama islam ini telah diberikan gambaran yang tidak adil, saya ingin memberikan penjelasan berhubung isu tersebut serta membuat sedikit teguran kepada Saudara Naim.

Diharapkan semoga sedikit penerangan yang saya jelaskan akan memurnikan tanggapan masyarakat yang tidak menetap di bumi USIM (satu-satunya Universiti Islam di Nilai sebagaimana yang digambarkan oleh Saudara Naim) yang tercinta. Bukanlah saya menulis ini bertujuan untuk menolak segala dakwaan yang dibuat oleh seorang pelajar (rakan Saudara Naim) yang telah menceritakan kepada Saudara Naim situasi USIM tersebut. Namun, adalah tidak adil bagi saya yang sudah hampir 3 tahun belajar di USIM sekiranya membiarkan keluarga saya dicemuh tanpa pembelaan. Tidak dinafikan bahawa ada beberapa kekurangan di pihak keluarga saya (USIM) yang masih perlu diperbaiki tetapi tindakan saudara menulis serta memberikan komentar berdasarkan cerita dari teman saudara adalah tidak tepat.

Saudara mendakwa bahawa USIM seolah-olah merupakan pusat ternakan ‘Islam liberal’. Saudara, ucapan ini sangat sensitif dan berbahaya. Saya yakin bahawa apa yang ditulis oleh saudara bukanlah mewakili PKPIM, namun sedikit sebanyak telah mencemar kewibawaan saudara selaku Ahli Jawantankuasa PKPIM. Apakah hanya apabila warga USIM dididik agar lebih fleksibel dan terbuka, saudara ingin menyatakan USIM adalah sekular dan liberal. Ini suatu tuduhan melulu dan tidak berasas. Keterbukaan yang diamalkan oleh USIM masih berada di bawah kawalan pihak pengurusan universiti yang sentiasa memastikan USIM berada di dalam acuannya tersendiri sesuai dengan imejnya sebagai universiti Islam. Islam tidak pernah menetapkan para ummatnya berpegang dengan suatu pandangan semata, bahkan di dalam lingkungan fiqh islam itu sendiri kita melihat kepelbagaian corak pemikiran. USIM yang terdiri dari pelbagai latarbelakang warganya sudah tentu perlu bersikap lebih terbuka serta meraikan pola pemikiran mereka. Tegasnya, apa yang saya lihat USIM telah meletakkan asas dan garis panduan yang tepat. Sebagai contohnya, seluruh kakitangan USIM diwajibkan menutup aurat. Bukan semua kakitangan USIM pada asalnya menutup aurat apatah lagi berpendidikan agama, namun pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan adalah bersesuaian dengan citra USIM dan kini seluruh warga USIM menutup aurat. Apatah lagi para mahasiswa dan mahasiswi juga digariskan agar menutup aurat dan berpakaian sopan. Jelas termaktub di dalam perlembagaan universiti berhubung perkara tersebut.

Saudara juga telah menaqalkan kata-kata sahabat saudara bahawa dekan terbabit (As-Syeikh Dr. Rosni Samah, HafizahulLah) mengeluarkan pandangan yang tidak baik berkenaan tudung dan jubah. Adakah saudara yakin dengan apa yang diceritakan oleh sahabat saudara itu benar, atau setidaknya bertepatan dengan maksud yang dinyatakan oleh tuan syeikh tersebut?. Ketika saya membaca artikel saudara saya terus menghubungi tuan syeikh dekan berhubung kenyataan beliau. Benar sekali, sahabat saudara telah salah memahami ucapan tuan syeikh serta tidak mahu menerima teguran yang diberikan kepada beliau.(lebih sopan menggunakan beliau - sebagai seorang yang beradab dalam penulisan). Apa yang dimaksudkan oleh Tuan syeikh berhubung jubah dan tudung itu adalah supaya mahasiswi yang bakal bergelar guru / ustazah berpakaian lebih kemas. Dalam erti kata lain berjubah dengan jubah yang kemas dan terurus bertudung labuh yang kemas dan menyenangkan. Barangkali teguran tersebut tidak dapat difahami dengan baik. USIM bukan sahaja menitik beratkan soal penguasaan ilmu bahkan imej islam yang baik harus dijaga.

Tuduhan saudara mengatakan kami (senior-senior USIM) berfikiran sekular adalah tidak benar. Mungkin ada segelintir yang berfikiran begitu (di mana IPT pun ramai), namun menuding jari dengan mengatakan senior USIM adalah sekular adalah tidak berasas. Berkenaan program tersebut hingga mengabaikan solat tidak dapat saya pastikan. Beberapa persoalan harus dikemukakan, adakah pihak penganjur tidak membenarkan bersolat atau pelajar yang tidak mengambil peluang untuk bersolat. Dalam pengamatan saya, tidak ada suatu program yang dianjurkan tidak memberikan ruang waktu untuk bersolat. Perkara ini akan dikaji dan diteliti oleh pihak bertanggungjawab.

Berhubung nyanyian-nyanyian, persembahan dan tarian yang melalaikan. USIM telah mencuba meng’harmoni’kan perkara tersebut sesuai dengan kehendak syariat dan menjaga nilai-nilai budaya ketimuran melayu. Kami bersyukur kerana USIM tidak membiarkan mahasiswanya untuk bebas dalam bersosial dan berhibur dengan sesuka hati. Ianya sentiasa dipantau serta dipandang berat oleh pihak pengurusan. Untuk makluman saudara, sebarang aktiviti berkaitan dengan nyanyian, persembahan dan tarian adalah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak atasan sebelum ianya dilaksanakan dalam kata lain, USIM sekaligus hanya membenarkan aktiviti tersebut dijalankan sekiranya ia tidak melanggari batas syariat dan budaya melayu.

Sebagai kesimpulan,ingin saya memberikan beberapa noktah sebagai panduan saudara. Pertama, saudara haruslah lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan terutama apabila mengaitkan peribadi serta institusi pengajian tinggi yang lain. Budaya menyiasat terlebih dahulu adalah perbuatan yang dianjurkan Islam serta mengelak dari membuat tuduhan melulu. Kedua, saudara harus menjaga adab serta etika di dalam menulis terutamanya saudara adalah merupakan seorang pemimpin mahasiswa yang berideologikan Islam sebagai cara hidup. Ahkirnya, saya mendokan agar Allah mengampunkan kesalahan dan dosa kita selaku hambaNya yang dhaif dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sekian.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

MOHD FARID DIN

Yang Dipertua,

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).





No comments: